JANGAN GSTKAN SEMUA BARANGAN

PUTRAJAYA - Tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang mengenakan caj enam peratus GST di atas jumlah besar barangan yang dibeli pengguna, termasuk barang yang sepatutnya berkadar sifar GST.

Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy berkata, kastam menyedari terdapat kes seumpama itu yang berlaku sejak pelaksanaan GST.

“Memang ada kes syarikat runcit menjual barang berkadar sifar dan berkadar standard tetapi apabila invois (resit kepada pembeli) dikeluarkan, jumlah (besar pembelian) dikenakan enam peratus semuanya.


“Ini seolah-olah hasrat kerajaan untuk beri kadar sifar GST, contoh bagi makanan asas, tidak kesampaian. Kita tidak minta dikenakan enam peratus apabila pengguna beli beras atau gula, itu semua berkadar sifar,” katanya yang meminta orang ramai melaporkan kepada kastam jika berdepan masalah tersebut.

Menurutnya, pada peringkat awal ini, kastam masih menggunakan pendekatan nasihat pada lawatan kali pertama di kedai-kedai atau premis yang tidak mematuhi peraturan GST.

“Kita bagi tempoh tiga hari (untuk perbetulkan keadaan) tetapi dalam lawatan susulan kalau masih lagi berlaku kita akan ambil tindakan, sudah tentu,” tegasnya.

Menurutnya, untuk mengelakkan penipuan seperti itu, kerajaan telah mewajibkan peniaga mengeluarkan resit yang mematuhi peraturan GST dengan menggunakan mesin juruwang yang dilengkapi perisian perakaunan yang telah diluluskan kastam.


0