“Ustadz, apa hukum ‘BERCOUPLE’?”

By shahmuzir
Banyak betul soalan ni saya terima dari remaja. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka mengambil berat tentang hukum dan pandangan agama dalam sesuatu hal. Tidaklah mereka sembrono berbuat sesuatu tanpa memikirkan apa pandangan agama.

Kali ni, saya nak tukar cara menulis pulak. Nak cuba cara cerita pulak. Saya harap inti dan maksud dapat difahami dengan mudah bagi sesiapa yang membaca, terutama remaja, insyaALLAH:

=======================================

Nabilah dan Husna baru sahaja habis kelas dan merancang untuk berjumpa Ustadz Faisal untuk bertanya sesuatu yang bersarang di kepala mereka dan rakan-rakan mereka.

“Assalamu’alaikum, ustadz” tegur Nabilah & Husna kepada Ustadz Faisal yang sedang khusyuk membaca sesuatu di dalam komputernya.

“Wa’alaikumussalam warahmatullah. Oh, kamu Nabilah, Husna. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” tanya Ustadz Faisal sambil melemparkan senyuman.

“Ustadz sibuk ke?” tanya Husna.

“Eh, takdelah. Biasa-biasa saje. Hah, ada apa-apa yang awak nak tanya ke Husna, Nabilah?” Ustadz meneka agaknya mungkin ada soalan yang mahu ditanya oleh mereka berdua.

Nabilah dan Husna adalah pelajar yang suka bertanya. Ustadz Faisal sudah mengagak mesti ada soalan yang hendak ditanya mereka. Ustadz Faisal memang suka pelajar-pelajarnya datang dan bertanya. Dengan cara begini, Ustadz Faisal tahu apa yang berlegar di dalam fikiran anak-anak muridnya dan beliau mengharapkan dengan memberikan jawapan-jawapan itu dapat membantu memberikan kefahaman tentang bagaimana sesuatu isu atau perkara itu dapat diselesaikan dengan pendekatan agama.

“Engkaulah tanya…” bisik Nabilah kepada Husna. Husna pula membalas balik, “Eh Nabilah, engkaulah tanya…” Mereka masing-masing tolak-menolak.

“Eh kamu berdua ni. Kalau kamu tak nak tanya, biar saya jelah yang tanya.” Gurau Ustadz Faisal sambil membulatkan matanya yang kecil itu.

Nabilah dan Husna tertawa tersipu-sipu.

“Begini ustadz…” Nabilah menolak Husna dengan bahunya. Husna membalas kembali tolakan itu.

“Hmm…tergedik-gedik, tergedik-gedik diorang ni” bisik hati ustadz Faisal.

“Kami nak tanya pasal couple ni ustadz…” Nabilah memulakan bicara.

“Apa benda couple tu?” tanya ustadz pula sambil mengerutkan keningnya. Sengaja buat tak tahu. “Jenama ais krim ke?” sambung Ustadz Faisal bergurau.

“Alaa, ustadz ni…takkan itu pun tak tahu…hehe” Nabilah dan Husna tertawa.

“OK, cuba awak terangkan pada saya apa yang awak faham tentang couple?” Ustadz Faisal menanyakan mereka berdua untuk menguji.

“Yang saya faham, couple ni macam bercintalah ustadz.” Terang Husna.

“Tak boleh ke bercinta? Habis tu saya sekarang ni cintakan isteri saya, tak boleh ke?” uji ustadz Faisal lagi.

Ustadz Faisal memang macam tu caranya. Dia biasanya akan bertanya itu dan ini kepada pelajar-pelajarnya jika pelajar-pelajarnya bertanya tentang sesuatu perkara. Tujuannya ialah supaya mengajak pelajar-pelajar itu sama-sama mencari jawapan dengan berfikir. Sebab kadang-kadang, jawapan kepada persoalan yang ditanya sudah mereka tahu tanpa mereka sedari. Cuma masih belum kemas barangkali kefahamannya.

“Bukan macam tu ustadz. Macam kami nilah, remaja bercinta. Belum kahwin. Masing-masing ada pasangan masing-masing. Boyfriendlah, girlfriendlah. Macam tulah… Boleh tak ustadz?” Nabilah memberikan penerangan disusuli soalan.

“Begini…saya nak tanya awak balik. Apa yang selalu diperbuat oleh pasangan-pasangan yang bercinta ini, yang awak panggil couple ini?” Sengaja Ustadz Faisal bertanya lanjut bagi membuka minda Nabilah dan Husna.

“Tentulah mereka berjumpa, berdating ustadz.” Jawab Husna dengan penuh yakin.

“Lagi?” Ustadz Faisal mengajak Nabilah dan Husna memikirkan apa yang diperbuatkan oleh pasangan yang bercinta atau bercouple ini.

“Mereka tukar-tukar hadiah, mereka keluar sama-sama, belajar sama-sama.” Terang Nabilah pula.

“Lagi?” Ustadz Faisal bertanya lagi.

“Hmm… itu jelah yang kami tahu, ustadz.” Husna menggarukan kepalanya yang tidak gatal sambil melihat ke siling untuk mencari jawapan.

“Hah, awak tengok apa tu Husna? Ada jawapan ke kat siling tu?” sergah Ustadz Faisal sambil tersenyum. “Kalau macam tu, saya nak tengok jugaklah.” Ustadz Faisal melawak.

“Ish ustadz nih” Nabilah dan Husna tertawa melihat gelagat Ustadz Faisal.

“OK, awak kata orang yang bercouple akan berjumpa, dating, itu dan ini. Dalam ISLAM boleh ke lelaki dan perempuan berjumpa?” Ustadz Faisal meminta jawapan dari Nabilah dan Husna.

“Bolehlah ustadz. Kalau tak boleh macam mana nak beli barang, nak belajar dan sebagainya.” Nabilah memberikan jawapannya dengan penuh yakin.

“Ha, begitulah. Lelaki dan perempuan kalau mempunyai urusan atau hajat tertentu memang boleh berinteraksi dan bermuamalah seperti berjual-beli, belajar, bermesyuarat dan bekerja. ISLAM membenarkan. Tetapi, jika tiada sebab yang penting, ISLAM melarang lelaki dan perempuan bergaul bebas dan berjumpa.” Ustadz Faisal memberikan penerangan.

“Dalam al-Quran, ALLAH menyuruh lelaki dan perempuan yang muslim agar menundukkan pandangan. Malah ada saranan untuk berinteraksi di sebalik tabir di antara lelaki dan perempuan bagi menjaga kesucian hati kedua-dua pihak. Betapa ISLAM telah menggariskan hukumnya. Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah………..” Tiba-tiba Ustadz Faisal diam dan tunduk. Beliau menajamkan pendengaran beliau seperti ingin mendengar sesuatu.

“Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam……….” Beliau mengulang dan diam lagi.

Nabilah dan Husna tiba-tiba teringat dan serentak mengucapkan “sallAllahu ‘alaihi wasallam…”. Mereka tersipu-sipu.

Ustadz Faisal tersenyum lalu menyambung semula “Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah suatu ketika di dalam majlis ilmu, seorang perempuan datang bertanya sesuatu kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam. Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah menolak muka seorang lelaki yang merupakan sepupu Baginda yang ada di dalam majlis tersebut. Apabila ditanya kenapa dibuat demikian, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab bahawa lelaki dan perempuan tidak aman dari dipengaruhi Syaitan.” Ustadz Faisal memberikan penjelasan.

“Dalam ketika yang lain, seorang buta pernah datang berjumpa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dan menyuruh Aishah agar duduk di belakang tabir. Aishah radhiAllahu ‘anha bertanya, “bukankah dia buta, mana dia nampak saya.” Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab, “ya, dia buta dan tak nampak engkau. Tapi engkau boleh melihat dia.” Nah, ISLAM telah meletakkan peraturan bahawa antara lelaki dan perempuan mesti ditundukkan pandangan dan tidak bebas bergaul di antara keduanya. Sedangkan pandang sahaja pun ISLAM sudah mengawal, inikan pula lebih dari itu.” Sambung Ustadz Faisal lagi.

“Awak faham tak apa yang cuba saya sampaikan.” tanya Ustadz Faisal kepada Nabilah dan Husna untuk mendapatkan respon mereka berdua.

“Faham ustadz.” Serentak Nabilah dan Husna menjawab.

“Jadi, saya rasa awak dapat jawapannya kepada persoalan awak pasal couple ini. Awak lihatlah orang-orang yang bercouple, apa mereka buat? Mereka berjumpa, berbual-bual, bermesra, keluar sama-sama; sedangkan ISLAM tidak merestui hubungan lelaki dan perempuan yang belum bernikah berbuat itu semua. Pendek kata, ia hanya akan meletakkan diri seorang muslim dalam keadaan berdosa dan kemurkaan ALLAH. Malah boleh menjerumuskan diri ke dalam perzinaan.” Terang Ustadz Faisal.

“Oh ya ustadz, saya teringat ayat al-Quran kata, “la taqrabuzzina!”…” Husna mencelah.

“Betul tu Husna, bagus. ALLAH Subhanahu wata’ala kata jangan dekati zina. Perbuatan-perbuatan seperti berdating, berjumpa, keluar sama-sama, itu semua adalah perbuatan-perbuatan yang boleh membawa kita semakin hampir dengan zina, na’udzu billahi min dzalik!” Ustadz Faisal mengiyakan apa yang diutarakan oleh Husna.

“Awak ingat tak hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam yang sebut pasal lelaki dan perempuan yang duduk berdua-duaan? Saya pernah jelaskan dalam usrah umum sekolah kita” tanya Ustadz Faisal.

“Yang mana satu ek?” Husna memandang Nabilah. Dan sekali lagi dia memandang siling mencari jawapannya.

Tiba-tiba Ustadz Faisal pandang siling, diikuti Nabilah. Husna perasan gelagat beliau ditiru Ustadz Faisal dan Nabilah. Husna senyum tersipu-sipu.

“Confirm takde jawapan kat siling tuh…hehe” Ustadz Faisal mencelah, bergurau.

Mereka bertiga tertawa.

“Oh saya ingat, ye…hadith pasal lelaki dan perempuan yang bersendirian akan ditemani oleh ‘orang’ ketiga, iaitu Syaitan. Yang tu kan ustadz?” Nabilah bersuara meminta pengesahan jawapannya daripada ustadz Faisal.

“Bagus Nabilah. 2 markah untuk awak.” Ustadz Faisal tersenyum bangga sambil menyambung, “Syaitan ni takde kerja lain. Kerjanya untuk menyesatkan manusia. Jangan awak sangka Syaitan duduk di antara lelaki dan perempuan yang bersendirian tu tengok aje, senyum-senyum aje. Tak!!!! Dia akan mainkan peranannya supaya lelaki dan perempuan itu akan terjebak dengan zina, iaitu dosa besar yang dimurkai ALLAH.” Jelas Ustadz Faisal.

“Mungkin mula-mula ringan-ringan. Pandang-pandang, sentuh-sentuh. Kemudian pegang-pegang. Apabila dah biasa, mulalah berzina. Syaitan ni pandai, genius. Dia dah ada pengalaman jutaan tahun. Bagi dia kacang je nak bagi manusia ni terjebak dengan bunga-bunga zina dan zina itu sendiri. Sejarah dah membuktikan. Malah sekarang ni pun macam-macam gejala sosial berlaku. Bohsia, bohjan, buang bayi, pelacuran. Ini semua akibat kita pandang ringan hukum ALLAH. Astaghfirullah…” sambung Ustadz Faisal lagi.

Nabilah dan Husna mendengar dengan khusyuk penjelasan Ustadz Faisal.

“Sebab itu kita disuruh jaga pandangan mata kita dan seluruh pancaindera kita. Awak kalau nampak ayam goreng, awak rasa nak makan tak ayam goreng?” Tanya ustadz Faisal.

“Tentulah ustadz. Bukan sahaja nampak, bau aje pun dah teringin.” Jawab Husna.

“Ha’ahlah. Hish, ustadz ni sebut pasal ayam goreng, terasa pulak nak makan ayam goreng.” Sambung Nabilah pula.

“Hehe…tulah manusia. Manusia ni kalau tak jaga pandangan dan pancaindera kita, kita tentu berkeinginan untuk memiliki sesuatu. Kalau awak pandang lelaki, tentu awak rasa nak memiliki perhatian lelaki itu. Macam lelaki, kalau dia nampak perempuan cantik, tentu dia nak jadikan dia sebagai awek. Tapi, kalau dia tak nampak dan tak tengok, tentu dia tak teringin pun. Fikiran kita pun jangan disibukkan dengan hal-hal couple ni. Jangan asyik berbual pasal couple dengan kawan-kawan, gossip si anu dengan si anu, baca buku cinta…ini semua dapat membuatkan kita mempunyai keinginan untuk bercouple.” Ustadz Faisal memberikan penerangan.

Nabilah dan Husna mengangguk tanda setuju.

“SubhanALLAH, ALLAH tahu fitrah kita. DIA yang ciptakan kita. Dia suruh kita menundukkan pandangan ada sebabnya. InsyaALLAH, jika awak ikut apa yang ALLAH suruh, awak akan selamat dari bahaya bercouple ini dan lain-lain bahaya…” jelas Ustadz Faisal.

“Malah, jika kita jauhi amalan couple ini, insyaALLAH gejala sosial seperti zina dan buang bayi akan menjadi sifar. Masyarakat akan lebih sejahtera. Nampak tak betapa besarnya implikasi couple ni. Mungkin sebahagian masyarakat nampak kecil dan biasa-biasa sahaja, sedangkan ia boleh menatijahkan sesuatu yang buruk kepada masyarakat.” Sambung Ustadz Faisal dengan wajah yang serius.

“Ustadz, alhamdulillah saya rasa saya dah faham apa hukum bercouple ni. InsyaALLAH ustadz, saya dan Husna akan cuba ingat nasihat ustadz ni.” Nabilah seakan dapat menyimpulkan perbincangan pada petang itu.

“Doakan kami ye ustadz supaya kami dapat jaga diri kami ye…” sambung Husna pula.

“InsyaALLAH Nabilah, Husna…saya doakan agar kalian dipelihara ALLAH. Sebaik-baiknya kamu berdua kongsikanlah apa yang kita bincangkan ini dengan kawan-kawan yang lain. Mudah-mudahan mereka semua akan faham apakah kedudukan bercouple ini di sisi ISLAM.” Ustadz Faisal merespon.

“Tapi ustadz, macam mana ye kalau kami remaja ni jatuh cinta?” Tiba-tiba nabilah bertanya lanjutan dari perbualan itu.

Belum sempat Ustadz Faisal membuka mulut, tiba-tiba Jannah datang memanggil Nabilah dan Husna dengan penuh tergesa-gesa.

“Bas datang, bas datang! Cepat, cepat…!” jerit Jannah sambil memegang daun pintu, termengah-mengah.

“Ah ustadz, kami minta maaf! Kami terpaksa minta diri dulu. Nanti kami datang lagi jumpa ustadz tanya. Terima kasih ustadz” Nabilah dan Husna tergesa-gesa memohon diri.

“Sama-sama. Hah, cepat..nanti bas tinggal, susah pulak. Takpe, esok kalau awak nak tanya lagi, datang je jumpa saya di bilik guru ni” Balas Ustadz Faisal.

“Assalamu’alaikum ustadz” Ucap Nabilah dan Husna.

“Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.” Jawab ustadz Faisal.

Shahmuzir Nordzahir
16 Oktober 2010
www.muzir.wordpress.com
4